Menyambut Kelahiran Bayi Menurut Islam.



Keriangan sebagai ibu bapa apatah lagi beragama Islam ketika menerima kelahiran anak patut diiringi dengan ucapan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa.

Islam sebagai agama yang menggariskan panduan hidup yang sempurna patut dijadikan pedoman kepada semua penganutnya. Adab-adab menyambut kelahiran bayi seharusnya menjadi amalan kepada semua ibu bapa yang menerima kelahiran zuriat. Menurut Ustaz Abu Hasan Al Ash’ari Zakaria, Konsultan Umrah Akademi Mutawwif Trainning and Consultancy, terdapat beberapa panduan yang patut dilakukan oleh ibu bapa sebaik anak yang dikandung selamat lahir ke dunia.

Sebelum itu, Ustaz Abu Hasan yang juga berpengalaman sebagai penceramah di stesyen radio dan televisyen ini menyuruh pasangan suami isteri dan keluarganya mengamalkan bacaan doa Nabi Yunus, Surah Al-Anbiaq ayat 87 supaya mudah bersalin.

Antara adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).
2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika cucu baginda, Hassan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.
Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub pula menyamakan seruan azan/iqamat seperti bacaan talqin. Kelahiran bayi bermaksud bayi berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu bayi menangis ketika baru lahir ke dunia.
3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.
4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.
5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut tidak perlu dibersihkan seperti dilakukan sesetengah masyarat yang membersihkan uri dengan garam dan asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang. Selain itu dia juga mengingatkan ibu bapa agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.
6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.
7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.
8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing,lembu,kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.
9. Mencukur jambul atau rambut anak yang baharu lahir. Menggunting sedikit rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu.
10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi perempuan.

Oleh: EDITORIAL PAMA
Tarikh: December 21, 2011.

0 comments:

Post a Comment

 
G.O.B.E.L.L © 2010 | Designed by Chica Blogger | Back to top